Saturday, September 13, 2008

PPSMI: Pandangan pelajar diambil kira

KUALA TERENGGANU 20 Julai, UTUSAN ONLINE - Kementerian Pelajaran bersedia menerima pandangan dan teguran daripada pelbagai pihak termasuk pelajar dalam usaha memantap dan memperkemaskan Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ismail berkata, pandangan mereka diterima sejajar dengan dasar keterbukaan kementerian itu.

“Pandangan pelajar matrikulasi dan tingkatan enam juga diambil kira kerana mereka mungkin mampu memberi idea yang bernas,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa bersarapan pagi dengan penduduk di Bukit Depu di sini hari ini.

Beliau mengulas rumusan awal Persidangan Meja Bulat mengenai PPSMI yang mendapati proses pengajaran mata pelajaran itu di kawasan luar bandar perlu ditingkatkan berbanding sekolah di bandar.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dilaporkan berkata, peserta persidangan turut mencadangkan kajian dibuat untuk menambah baik kecekapan guru, kemudahan prasarana dan program sokongan diperluaskan.

Mengulas lanjut Razali memberitahu, peruntukan RM5 bilion telah digunakan dalam menjayakan PPSMI setakat ini.

Beliau menambah, peruntukan itu digunakan bukan sahaja untuk peralatan pembelajaran dan pengajaran termasuk komputer dan bahan pengajaran malah pelbagai kemudahan berkaitan.

Katanya, walaupun secara kasar impak pelaksanaan PPSMI setakat ini belum begitu ketara khususnya di luar bandar namun kesan positif sudah mulai kelihatan.

Jelas Razali, dalam usaha memantapkan PPSMI, kementerian sentiasa berusaha menganjurkan pelbagai program termasuk mengadakan persidangan meja bulat berhubung isu-isu berbangkit.

Katanya, kementerian juga membentangkan 16 kajian mengenai PPSMI yang dilakukan bukan sahaja oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) malah kementerian pelajaran dan sektor swasta.

“Kita juga akan membentangkan hasil kajian akhir tahun ini untuk melihat keberkesanan program ini dan kita akan lihat sejauh mana kejayaan dan impaknya terhadap pelajar,

“Ini penting sebab kita harus ingat kesan atau impak PPSMI adalah besar membabitkan berjuta pelajar dan perbelanjaan yang mencecah RM5 bilion,” katanya.

No comments: