Saturday, May 17, 2008

Syarat naik pangkat dilonggar dorong pendidik kerja lebih gigih

Syarat naik pangkat dilonggar dorong pendidik kerja lebih gigih

TEMPOH pengalaman mengajar tidak kurang tujuh tahun yang disyaratkan dalam permohonan jawatan Guru Cemerlang, diturunkan kepada tidak kurang lima tahun, mulai tahun ini.

Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir, berkata pengurangan tempoh itu secara langsung membolehkan guru menikmati peluang peningkatan kerjaya terbabit dengan lebih cepat.

Selain itu, beliau berkata, langkah berkenaan juga bertujuan mengelakkan jarak tempoh yang agak rapat dengan syarat 10 tahun ditetapkan untuk guru memperoleh kenaikan menerusi satu lagi saluran, iaitu `time-based'.

"Tawaran jawatan Guru Cemerlang ialah antara saluran peningkatan kerjaya guru yang paling utama atau banyak. Justeru, peluang memohon jawatan itu dalam tempoh lebih cepat akan mendorong guru berkhidmat dengan gigih dan berkesan," katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.

Zulkifly berkata, Kementerian Pelajaran sudah menetapkan kuota 9,374 jawatan Guru Cemerlang meliputi 5,374 bagi pegawai perkhidmatan pelajaran (PPP) siswazah dan 4,000 lagi untuk PPP bukan siswazah.



Bagi PPP siswazah, katanya, kementerian menyediakan 4,000 jawatan Guru Cemerlang DG44, DG48 (1,000), DG52 (250), DG54 (100) dan Gred Khas C (24).

Sementara, bagi PPP bukan siswazah pula, beliau berkata, 3,200 jawatan Guru Cemerlang DGA32 disediakan, selain 800 jawatan Guru Cemerlang DGA34.

Dalam konteks ini, Zulkifly berkata, Bahagian Sekolah berperanan sebagai urus setia menerima permohonan jawatan Guru Cemerlang yang diletakkan di bawah pengendalian Jemaah Nazir Sekolah (JNS).

Dari segi syarat lain pula, beliau berkata, guru memohon jawatan Guru Cemerlang yang diperkenalkan sejak 1993 itu turut dikehendaki menyertakan sebarang hasil kajian tindakan mereka.

"Kajian tindakan itu meliputi inovasi yang pernah dilakukan guru terbabit untuk menambah baik atau mempertingkat prestasi pencapaian dalam mata pelajaran mereka.

"Sebagai contoh, guru berkenaan mendapati ada pelajar yang tidak dapat mengikuti atau menguasai mata pelajaran diajarnya. Justeru, guru terbabit membuat kajian punca dan berusaha menanganinya.

"Walaupun bilangan pelajar yang bermasalah itu mungkin sedikit, inisiatif, kreativiti serta inovasi guru berkenaan mengatasi keadaan terbabit penting, malah menjadi contoh berguna yang boleh dikongsi bersama rakan sejawat lain," katanya.

Sementara itu sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2008, Zulkifly berharap guru di seluruh negara akan bertugas dengan lebih komited berikutan senario perkembangan dunia yang semakin maju.

Katanya, guru perlu meningkatkan ilmu pengetahuan supaya dapat membimbing pelajar secara berkesan dalam suasana dunia terbuka dengan kemudahan capaian maklumat yang luas menerusi buku dan internet kini.

"Begitupun, peranan guru bukanlah mengajar semata-mata tetapi juga mendidik secara menyeluruh, termasuk dalam aspek sahsiah dan kemahiran kepimpinan di kalangan pelajar, bagi menjayakan penjanaan modal insan.

"Tugas guru ini adalah mulia. Seseorang perlu ada kesabaran tinggi untuk menjadi seorang guru. Ini bermakna mereka perlu menghadapi dan menangani kerenah pelajar serta ibu bapa secara berhemah dan mengikut prosedur sedia ada. Janganlah mengambil tindakan secara beremosi," katanya.

No comments: