Tuesday, May 20, 2008

Tabung Amanah Tampung Sekolah



TAIPING: Ahli Jawatankuasa Penganjuran Ulang Tahun ke-125 Sekolah King Edward VII di sini, mewujudkan Tabung Amanah khusus untuk mendapatkan dana sekurang-kurangnya RM1 juta bagi membantu kerja penambahbaikan sekolah serta keperluan pembelajaran pelajar. Malah, dana itu turut diperlukan untuk mempergiatkan pelbagai aktiviti pelajar termasuk sukan ragbi yang menjadi antara sukan utama pelajar sekolah berkenaan.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Seri Dr Abdul Shukor Abdullah, berkata dana daripada tabung akan digunakan sepenuhnya untuk menambah baik bangunan sekolah berkenaan selain menyokong pembelajaran serta perjalanan aktiviti pelajar.

"Memang sebelum ini sekolah itu mempunyai bantuan biasiswa daripada beberapa individu, tetapi dengan adanya tabung itu ia lebih banyak membantu menampung kekurangan yang ada.

"Kita amat memerlukan dana atau bantuan untuk memastikan keselesaan pembelajaran pelajar dan aktiviti sekolah dapat berjalan dengan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas perasmian sambutan ulang tahun ke-125 sekolah berkenaan di sini, kelmarin.

Upacara perasmiannya disempurnakan bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik yang juga bekas pelajar sekolah itu serta dikenali sebagai 'Tiger' iaitu gelaran bagi semua bekas pelajar sekolah berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Presiden Persatuan Bekas Pelajar Edward Malaysia, Mohaideen Mohd Ishack.

Sekolah yang dinamakan bersempena King Edward VII, Putera Wales dari United Kingdom, bermula dibuka pada Julai 1883 dengan penubuhan Central School atau Sekolah Pusat.

Pada awal penubuhannya, sekolah itu hanya memiliki 13 pelajar dan bertambah menjadi 55 pelajar menjelang akhir 1884.

Bagaimanapun, nama Sekolah Pusat ditukar selepas guru besar kedua sekolah itu, R F Stainer, mencadangkan Sekolah King Edward VII bersempena dengan pertabalan King Edward VII yang menaiki takhta England pada 1901 selepas kemangkatan Queen Victoria.

Ling dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau bangga menjadi pelajar di sekolah itu kerana sebahagian besar daripada mereka mampu mencipta kejayaan gemilang dalam kehidupan masing-masing.

"Sekolah ini sudah melahirkan ramai insan ternama serta berjaya dan tradisi itu wajar diikuti generasi pelajar yang ada sekarang ini," katanya yang turut memberi nasihat dan dorongan kepada pelajar sekolah berkenaan supaya mengamalkan sikap kompromi serta berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara.

Petikan daripada Berita Harian bertarikh 15/5/2008.

No comments: